BUKIT MERTAJAM: Padah memfitnah seorang pegawai polis, aktivis masyarakat, Phan Sow Sun didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

Sow Sun, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Mohd Zaki Abdul Rahman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memfitnah Inspektor R. Kunes Raw dengan memviralkan tiga video dalam pautan Facebook.

Video tersebut mendakwa anggota berkenaan telah menyalahgunakan kuasa dan tinggal di sebuah rumah tanpa sebarang perjanjian sewa selama dua tahun yang mana tohmahan itu akan merosakkan nama baik tertuduh.

Duda anak tiga itu didakwa melakukan kesalahan itu di B, 08-09 Kondominium BM City, Bukit Mertajam jam 7 pagi pada 26 Mac lepas.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Kalaivaanan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Kalaivaanan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 namun tertuduh meminta jaminan di kurangkan sebanyak RM2,000.

Mohd Zaki kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dan menetapkan 29 September depan untuk sebutan semula dan serahan dokumen serta lantikan peguam.

Terdahulu, Sow Sun, menarik perhatian apabila merakam kehadiran petugas media yang sedang bertugas membuat liputan kes tersebut menerusi telefon pintarnya