MERSING: Aktiviti selam snorkel dan lawatan pulau-pulau di sekitar perairan Mersing dibenarkan semula mulai hari ini, mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Bagaimanapun, Pegawai Daerah Mersing Mohammed Shakib Ali berkata aktiviti selam skuba masih belum dibenarkan.

"Semua pengusaha resort, chalet, bot pelancong dan bot 'island hopping' (lawatan pulau-pulau) perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk mendaftar dengan Majlis Daerah Mersing melalui Mersing Tourism Operator System (MeTOS), bermula 1 Mei depan.

"Satu SOP akan dikeluarkan dalam masa terdekat," katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook Pejabat Daerah Mersing hari ini.

Mohammed Shakib berkata keputusan itu merupakan lanjutan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Daerah Mersing dan Mesyuarat Khas Pembukaan Aktiviti Laut di perairan Mersing yang dipengerusikan oleh beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K.Raven Kumar.

BACA: Aktiviti selam skuba, snorkeling di Mersing diarah henti serta-merta

[INFOGRAFIK] Kronologi penyelam hilang di Mersing (9 April 2022)

Pada 7 April lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan kesemua aktiviti menyelam di perairan Mersing dihentikan buat sementara waktu.

Titah itu susulan empat penyelam warga asing dilaporkan hilang di perairan Pulau Tokong Sanggol, kira-kira sembilan batu nautika dari Tanjung Leman di sini, pada 6 April lepas.

Tiga penyelam Kristine Grodem, 35, warga Norway, Adrian Peter Chesters, 46, warga British dan Alexia Alexandra Molina, 18, warga Perancis ditemukan selamat manakala Nathen Renze Chesters, 14, warga Belanda meninggal dunia.

Mersing mempunyai lima pulau utama iaitu Pulau Sibu, Pulau Besar, Pulau Tinggi, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil.

-- BERNAMA