PERLIS pagi Rabu kebumikan tokoh pendidikan yg disegani. Datuk Haji Wan Din Che Mat, 95 tahun pulang ke rahmat Allah pada jam 10 malam di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis pada Selasa 29 Mar bersamaan 20 Jamadilakhir 1437 Hijrah.

Wan Din pernah dianugerah Tokoh Guru Perlis juga merupakan Tokoh Guru Kebangsaan (1995).

Seorang pejuang pendidikan disegani hasil khidmat bakti beliau sejak era sebelum merdeka hinggalah ke kurun ke 21, Wan Din dimasukkan ke hospital sejak Khamis lalu akibat kerumitan sakit tua.

Beliau meninggalkan 9 orang anak, lebih 25 cucu dan lebih 25 cicit.

Arwah dikebumikan di perkuburan keluarganya di Kg Paya Batas Tinggi, Beseri pada 10 pagi Rabu (30 Mac).

Sebagai aktivis pendidikan yang giat membela nasib anak bangsa di seluruh pelusuk negeri Perlis, beliau inovatif mendidik pelajar dan menghakupaya guru-guru.

Contohnya Wan Din mengasaskan Koperasi Guru-Guru Melayu Perlis dengan menjadikan rumahnya sendiri sebagai pejabat.

Beliau berjasa lebih empat dekad dalam pendidikan di Perlis terutamanya sebagai guru besar dan pengetua seperti di Sekolah Menengah Dato' Sheikh Ahmad, Arau, dan Sekolah Menengah Syed Hassan, Kangar, sekolah Bandar DiRaja yang melahirkan ramai cerdik pandai dan pemimpin negeri seperti Menteri Besar Perlis Dato' Seri Azlan Man.

Selain itu sebagai anak kelahiran kampung di Beseri beliau prihatin kebajikan masyarakat luar bandar melalui kepimpinan aktiviti Lembaga Pertubuhan Peladang Perlis.

Arwah juga memimpin melalui teladan dengan menjadi pelopor pelbagai sejarah kejayaan guru Perlis.

Antaranya guru Melayu Perlis berpendidikan sekolah Melayu pertama yang lulus peperiksaan Inggeris, Federation of Malaya Certificate.

Beliau juga aktif menggembeling muafakat guru di Perlis dan di Semenanjung melalui Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat.

Selain aktif bersukan dan memajukan sukan negeri melalui institusi pendidikan, beliau juga menyemarak muzik moden dan tradisional melalui pasukan muzik Kelab Indera Kayangan Perlis.

Allahyarham adalah lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris Tanjung Malim dan Maktab Perguruan Bahasa Lembah Pantai.