KUALA LUMPUR: Syarikat pelaburan kewangan terkemuka antarabangsa yang berpusat di Kuwait, Al Hajri Global Group berhasrat menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama pelaburannya di rantau Asia Tenggara.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perkara itu dinyatakan dalam kunjungan hormat pengurusan tertinggi syarikat itu, pada Rabu.

Dalam catatan di Facebooknya, Ismail Sabri berkata delegasi itu diterajui Pengerusi Al Hajri Global Group Sheikh Essa R Al-Hajri serta Penasihat dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut bagi Malaysia, Eropah dan Turki, Dr Osama Mohammed.

"Mereka menyuarakan hasrat menjadikan Malaysia sebagai lokasi utama pelaburannya di rantau Asia Tenggara.

"Mereka juga ingin meninjau peluang pelaburan di Malaysia dan pelaburan ini akan dilakukan bersama Kumpulan Boustead Holdings Bhd (Kumpulan Boustead), dalam tempoh tiga tahun akan datang," katanya.

Perdana Menteri berkata antara peluang pelaburan yang dikenal pasti ialah dalam sektor minyak dan gas, perubatan, pembinaan, pemaju perumahan dan kewangan.

Katanya, lawatan itu juga bertujuan mengukuhkan hubungan perniagaan dan pelaburan, serta meningkatkan urusan dagangan dua hala antara kedua-dua negara.


Dalam hantaran berasingan, Ismail Sabri turut menerima kunjungan hormat Menteri Kesihatan Singapura Ong Ye Kung dan Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura ke Kuala Lumpur Vanu Gopala Menon, di pejabatnya di Parlimen. 

Beliau berkata dalam mesyuarat selama 15 minit itu, Ong dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin telah memberi taklimat, mengenai perbincangan pembukaan semula sempadan yang berlangsung sebelum ini di antara perwakilan Kementerian Kesihatan kedua-dua negara di Putrajaya.


-- BERNAMA