KUALA LUMPUR: Sebuah alat pengalihan udara (air ventilation) terjatuh selepas dilanggar sebuah treler dalam terowong di Jalan Sultan Yahya Petra, pagi semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Salleh berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 11.03 pagi.

Beliau berkata siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila treler dari arah Air Panas, Setapak menghala ke pusat bandar itu yang membawa muatan alat ganti penyejuk udara, terlanggar alat berkenaan.

"Nahas turut mengakibatkan bahagian atas kontena lori treler itu terkoyak dan alat pengudaraan itu jatuh ke atas jalan.

"Nahas hanya melibatkan kerosakan pada bahagian kontena dan tidak melibatkan sebarang kenderaan lain serta kecederaan kepada pemandu," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 kerana memandu dengan cuai.

-- BERNAMA