KUALA LUMPUR: Semuanya seperti biasa dan tiada sebarang alahan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri memanjatkan rasa syukurnya dengan berkongsi keadaan kesihatannya selepas menerima vaksin COVID-19 pada Jumaat.

Jelas Zulkifli dalam satu video yang dimuat naik dalam ciapan Twitternya pada Sabtu: "Assalamualaikum, saya lafazkan alhamdulillah syukur kepada Allah SWT, kita bersama rakan-rakan, sahabat handai, kita sentiasa syukur kepada Allah.

"Semalam saya mengambil satu suntikan vaksin Pfizer-BioNTech, Alhamdulilah saya semalam seperti biasa tiada sebarang alahan," katanya dalam video terbabit.

Dalam pada itu, Zulkifli turut menzahirkan ucapan terima kasih buat rakyat Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

"Saya nak ucap terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia sentiasa prihatin dan cakna.

"KKM yang begitu berhemah dalam tugasan cukup mencabar dan sentiasa dilihat khalayak masyarakat, sekali lagi saya menyeru ambillah vaksin mudah-mudahan Allah SWT bagi kepada kita kebaikan.

"Lindungi diri sudah pasti bermakna kita lindungi semua," katanya lagi.