KUALA LUMPUR:Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan beliau negatif jangkitan wabak COVID-19.

Azmin membuat pengumuman berkenaan menerusi satu muat naik di laman Facebook peribadinya pada Rabu.

“Banyak spekulasi mengenai status kesihatan saya. Terima kasih kerana ramai yang prihatin dan mendoakan kesejahteraan dan keselamatan saya sekeluarga.

"Saya telah menjalani dua ujian COVID-19. Alhamdulillah, keputusan kedua-dua ujian adalah negatif,” katanya.

 
Sumber Facebook MohamedAzminAli

Pengumuman itu sekali gus menamatkan spekulasi yang bertiup kencang di media sosial semalam yang mendakwa Ahli Parlimen Gombak itu dijangkiti pandemik itu.

Dalam hantaran yang sama, Azmin juga memaklumkan beliau akan terus menjalani kuarantin kendiri sehingga ujian saringan COVID-19 ketiga dibuat di Pejabat Kesihatan Daerah Putrajaya.

“Buat masa ini, saya tetap melaksanakan tugas dan tanggungjawab dari rumah.

“Saya mendoakan semoga seluruh rakyat Malaysia senantiasa dilindungi dari jangkitan COVID-19,” katanya.


Sebelum ini, dalam perutusan khas situasi semasa COVID-19 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Selasa memaklumkan, beliau dan tujuh menteri serta enam timbalan menteri kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.