KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menzahirkan rasa syukur atas keputusan yang dibuat Suruhanjaya Sekuriti (SC).

Ia berkaitan siasatan yang dilakukan pengawal selia pasaran modal itu susulan dakwaan pemilikan saham luar biasa oleh Azam.

"Alhamdulillah, saya melahirkan rasa syukur di atas keputusan yang dibuat oleh SC yang telah mendapati tiada kesalahan yang dilakukan oleh saya.

"Saya telah dimaklumkan oleh pihak SC bahawa siasatan terhadap perkara itu telah dimuktamadkan.

"Oleh yang demikian, pihak SC telah menutup fail inkuiri tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: SC tidak dapat tentukan Azam Baki langgar undang-undang

Justeru, beliau menegaskan akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat.

SC dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada berlaku pelanggaran undang-undang bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti berhubung isu pemilikan saham Azam dan menamatkan inkuiri.