KUALA LUMPUR: Jenama fesyen Alia Bastamam dinobatkan sebagai ‘Brand of The Year’ di Kuala Lumpur Fashion Award (KLFA) 2021 yang berlangsung pada Rabu.

Kemenangan pereka fesyen itu dilihat mengalahkan beberapa nama besar dalam industri yang turut tercalon dalam kategori yang sama iaitu Rizman Ruzaini dan Fiziwoo.

Acara yang diadakan buat julung kalinya itu menggariskan pencalonan bagi 14 kategori berprestij dalam usaha mengiktiraf pemain industri fesyen di Malaysia di atas sumbangan mereka.

Selain Alia, pereka fesyen Nurita Harith telah dinobatkan memenangi kategori Pereka Fesyen Wanita, manakala Kit Woo untuk kategori Pereka Fesyen Lelaki.

Manakala bagi kategori Inovasi Fesyen dimenangi oleh Bremen Wong.

KLFA 2021 juga turut mengiktiraf kemunculan pereka baharu dalam industri fesyen negara dengan menamakan Maarimaia sebagai pemenang kategori Pereka Baru Wanita dan Kit Woo bagi kategori Pereka Baru Lelaki.

Paling menarik, KLFA 2021 juga membawakan kategori Ikon Fesyen Terbaik yang dimenangi oleh model dan pengacara Marion Counter dan Khir Khalid bagi kategori Jurusolek Terbaik.

Majlis gilang gemilang anjuran Lexus Malaysia dan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) itu turut dihadiri Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.