Doa bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor suatu ketika dahulu supaya bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed dipanjangkan umur dimakbulkan Allah.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata doa itu pernah dipinta Allahyarham supaya Tun Mahathir melihat sendiri kerosakan yang ditinggalkan baik dalam negara dan juga UMNO.

Kini, katanya, Mahathir melihat kerosakan yang ditinggalkan dan mewujudkan parti baharu melalui Pakatan Harapan (PH) untuk membaiki kesilapan yang pernah beliau lakukan dahulu.

"Dr Mahathir meninggalkan kerosakan dan kini kerosakan yang ditinggalkan beliau ingin diperbetulkan melalui parti baharu itu.

"Namun bagaimana seorang yang tercemar dengan penyakit ingin merawat penyakit yang beliau sebarkan," katanya ketika menyampaikan ucapan di program Bangkit Pertahankan Kelantan yang dihadiri pimpinan Pas Kelantan dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini malam tadi.

Mohd Amar pada masa sama mengajak rakyat Kelantan mempertahankan Kerajaan Kelantan yang ditinggalkan oleh bekas Menteri Besar, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau juga membayangkan Pas bakal menjadi sebuah parti pilihan utama atau parti penentu untuk rakyat memilih selepas melihat kekaburan wadah perjuangan yang dibawa oleh PH dan pada masa yang sama muak dengan Barisan Nasional yang dilihat banyak memberikan tekanan kepada rakyat.

Sambil menambah rakyat kini berdepan dengan situasi tiada pilihan pada pilihan raya akan datang mendorong mereka memilih Pas sebagai sebuah parti pilihan.