SEREMBAN: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyifatkan kewujudan golongan 'Little Napoleon' dalam perkhidmatan awam tidak terlalu serius hingga boleh menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Presidennya, Datuk Adnan Mat, berkata ini kerana sistem pentadbiran perkhidmatan awam dari masa ke masa telah mengalami peningkatan yang baik dan menyeluruh melalui transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan.

'Little Napoleon' merujuk kepada penjawat awam bawahan yang berada di sesuatu kedudukan tetapi berlagak seolah-olah begitu berkuasa seakan pegawai yang berada di peringkat tertinggi.

"Secara umumnya setiap penjawat awam tertakluk kepada Perintah Am yang diperincikan pelaksanaannya melalui pekeliling dan ditambah baik dari masa ke masa supaya mutu perkhidmatan sentiasa menepati keperluan pihak berkepentingan khususnya rakyat.

"Namun sudah tentu apabila melibatkan organisasi besar seperti perkhidmatan awam, terdapat segelintir kecil penjawat awam yang mempunyai sedikit kuasa ini tersasar daripada landasan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Bulan Wakaf Peringkat Negeri Sembilan 2023, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Adnan berkata ia tidak menggambarkan imej keseluruhan perkhidmatan awam kerana ia kebanyakannya adalah persepsi semata-mata berikutan kes-kes terdahulu telah mengakibatkan perkara ini dilihat seakan-akan masih berlaku secara berleluasa termasuk melalui media sosial.

Justeru, katanya, ketua jabatan di setiap agensi dan jabatan masing-masing perlu tegas selain memberikan penekanan kepada setiap pegawai bawahan untuk menghormati proses dan prosedur kerja.

"Sifat memilih pegawai tertentu juga tidak wajar dilakukan kerana ia boleh menyebabkan mereka yang terpilih ini merasa 'kebal' dan arahan mereka lebih tinggi daripada prosedur kerja yang ditetapkan," katanya.

Katanya, setiap jabatan juga perlu bersedia menerima aduan atau pandangan daripada kakitangan bawahan bagi memastikan gejala Little Napoleon ini tidak berleluasa.

Majlis pelancaran Bulan Wakaf tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir.

-- BERNAMA