Aman Palestin Kelantan kutip RM500,000 untuk sumbangan kepada rakyat Palestin

Bernama
November 1, 2023 14:25 MYT
Mohd Ridzuan (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan kewangan kepada Mohd Salmi (dua, kanan) sempena Majlis Penyerahan Tabung Aman Palestin Peringkat JPV di pejabat JPV negeri hari ini. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Aman Palestin Kelantan berjaya mengutip sumbangan RM500,000 setakat ini bagi membantu rakyat Palestin yang semakin terhimpit kehidupan mereka akibat kekejaman rejim Zionis.
Pengurus Cawangan Aman Palestin Kelantan Mohd Salmi Mohamed berkata sumbangan itu jelas menunjukkan keprihatinan rakyat Kelantan yang bersolidariti demi kemanusiaan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan RM3,811 daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan yang diserahkan oleh Timbalan Pengarah Veterinar Kelantan (Pengurusan) Mohd Ridzuan Sulaiman, di sini hari ini.
Orang ramai boleh memberikan sumbangan tunai kepada rakyat Palestin dengan menyalurkannya terus kepada Aman Palestin menerusi pelbagai cara sama ada secara tunai, secara perbankan dalam talian, atau sistem kod respon pantas (QR).
-- BERNAMA
#aman palestin #kod respon pantas #rejim Zionis #rakyat Palestin