Parti Amanah Negara atau Amanah belum membincangkan secara terperinci kawasan atau tumpuan negeri untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Sebaliknya, Pengerusi Amanah, Mohamad Sabu berkata tumpuan kini adalah ke arah menambahkan ahli di seluruh negara.

Parti Amanah yang mengadakan ceramah pertamanya di Kelantan pada Selasa malam, turut menyasarkan lebih 50,000 ahli menjelang 16 September depan.

Beliau berkata, Amanah sedang giat mengedarkan borang keahlian, namun sehingga kini belum dapat dipastikan jumlah penyertaan ahli parti baru ini.


"Saya tidak tahu lagi parti ini hendak bertanding atau tidak (dan) di mana, belum diputuskan dan dibincangkan lagi pasal pilihanraya.

“Saya sedih tapi kita kena buat pembaharuan," ujar Mohamad atau Mat Sabu kepada pemberita.

Ditanya berhubung Bai'ah atau sumpah yang dibuat oleh Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang menyertai Amanah, beliau enggan mengulas perkara itu dan menyerahkan kepada kebijaksanaan ulamak untuk menilainya.