Manifesto Parti Amanah Negara (Amanah) dengan jelas mengambarkan bahawa parti itu tidak boleh melaksanakan tanggungjawabnya tanpa bantuan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, Amanah akan sentiasa mengharapkan Kerajaan BN untuk membangunkan Kuala Kangsar jika calon mereka dipilih sebagai Ahli Parlimen.

"Manifesto Amanah ini lebih berupa 'desakan' agar kerajaan BN membuat itu dan ini. Kalau begini mudahlah menjadi wakil rakyat, desak sahaja.

"Kalau begitu untuk apa rakyat Kuala Kangsar perlu memilih calon Amanah sebagai wakil kerana yang lebih baik ialah memilih saja Datin Mastura Yazid sebagai wakil kerana terbukti apa sahaja perkara seperti menyegerakan pembinaan Jambatan Manong menyeberangi Sungai Perak, serta menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) supaya diberikan status universiti sudah direalisasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sementara tiga lagi agenda yang diperjuangkan Mastura iaitu menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada Hospital Pakar, memohon kelulusan pelebaran Jalan Manong-Kuala Kangsar serta membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan, akan dapat dilaksanakan," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Selasa.

Tambahan lagi tegasnya, apa yang ingin dilakukan oleh calon Amanah sebenarnya sedang dan akan dilakukan oleh kerajaan BN pada masa ini.

Parti Amanah Negara
"Oleh itu tiada apa kelebihan kalau pengundi Kuala Kangsar memilihnya. Saya juga boleh nyatakan calon Amanah tiada kekuatan atau kelebihan untuk membangunkan Kuala Kangsar maka ia suatu kerugian jika rakyat memilihnya.

"Sebab itu selalu saya nyatakan bila kita memilih wakil rakyat jangan hanya lihat pada diri calon secara individu sahaja tetapi lihat parti mana yang diwakilinya.

"Ini kerana akhirnya nanti apabila wakil rakyat ingin berbakti kepada rakyat, dia terpaksa juga mendapat sokongan daripada partinya sendiri dan sudah tentu kelebihan akan diperolehi jika ia mewakili parti yang kukuh dan dalam keadaan Datin Mastura ada kelebihan itu," ujarnya.

Jelasnya, Mastura perlu diyakini kerana mewakili parti yang ada kekuatan dan rekod yang baik dan terbukti.

"Semua kekuatan ini tiada pada calon Amanah atu PAS apatah lagi calon Bebas." tegasnya.

PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara BN, PAS, Amanah dan Bebas.

Mereka ialah Mastura, Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, Naib Ketua Amanah kawasan Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.