Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi amaran kepada mana-mana pihak termasuk ahli politik agar tidak membuat kenyataan kepada media semasa siasatan kes melibatkan rasuah dan salah laku sedang berjalan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad menegaskan, mana-mana individu yang melakukan kesalahan itu akan didakwa mengikut Seksyen 48 Akta SPRM 2009.

"SPRM memandang serius tentang pada ketika ini sudah menjadi satu trend bahawa orang ramai atau mereka yang terlibat dengan siasatan SPRM telah membuat kenyataan media.

"Kita memandang serius perkara ini dan kita melihat bahawa perkara ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 48 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan mana-mana orang yang mengganggu, menakutkan, mengancam atau menakutkan atau melarikan orang yang dalam penyiasatan di bawah akta ini merupakan satu kesalahan," katanya dalam sidang media selepas Upacara menurun dan menaikkan bendera SPRM sempena beroperasi di bangunan baharu SPRM di sini hari ini.

Mereka yang melakukan kesalahan di bawah sekyen berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau hukuman penjara tidak lebih dua tahun.

Kesalahan dilakukan individu terlibat juga disifatkan sebagai mengganggu siasatan yang dijalankan SPRM.

"Saya tidak akan teragak-agak untuk ambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan perkara tersebut yang kita anggap sebagai interference yang dijalankan SPRM untuk kita ambil tindakan di bawah Seksyen 48 ini," ujarnya.

Tegas beliau, mana-mana individu yang mempunyai keterangan bagi membantu siasatan tampil kepada SPRM untuk dirakam percakapan.

Dalam pada itu katanya, SPRM juga akan bertindak tegas jika ada mana-mana pegawainya yang dikenal pasti membocorkan siasatan.

"Segala aduan dirahsiakan tidak timbul mengenai perkara tersebut. Kita amat tegas dan kita tidak hebah siasatan tetapi media ini kita tidak tahu dapat sumber dari mana.

"Kalau ada pegawai bocor maklumat kita akan ambil tindakan, tetapi setakat ini tiada pegawai terlibat," tambahnya.