KUALA LUMPUR: Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan bermula di timur Sabah, Pantai Timur dan utara Semenanjung bagi tempoh 1 hingga 5 Disember ini.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata keadaan itu disebabkan oleh angin timuran yang kencang dari barat Lautan Pasifik.

Justeru, MetMalaysia ujarnya telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (Waspada) melibatkan timur Sabah, Pantai Timur dan utara Semenanjung dalam tempoh 1 sehingga 4 Disember.

"Pada masa sama, satu sistem cuaca bertekanan rendah dijangka terbentuk di Laut China Selatan pada 2 Disember.

"Sistem ini diramal bergerak ke arah barat merentasi sempadan Malaysia - Thailand menuju ke Laut Andaman pada 3 hingga 4  Disember dan kewujudannya boleh meningkatkan intensiti hujan," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.

Muhammad Helmi menambah ombak besar dan angin kencang turut dijangka melanda pesisir pantai serta perairan Kelantan dan Terengganu, yang mana keadaan berkenaan adalah berbahaya kepada sebarang aktiviti pantai dan laut.

Dalam masa yang sama, beliau berkata orang awam di kawasan terlibat dinasihatkan untuk lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

"MetMalaysia sentiasa memantau dan memaklumkan perkembangan sistem ini dari semasa ke semasa melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, dan media sosial rasmi.

"Talian hotline MetMalaysia 1-30022-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut," ujarnya.