Banjir besar yang berlaku di Pantai Timur tidak seharusnya dibiarkan berlalu sebaliknya ia perlu diambil iktibar.

Itu titah Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang mahu orang ramai dan pemimpin negeri memastikan sebarang projek pembangunan serta kegiatan sosio-ekonomi yang dirancang tidak menjejaskan alam sekitar.

Teks ucapan baginda dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah yang mengajak seluruh rakyat negeri ini tidak melakukan penarahan bukit, pembalakan haram, pembakaran terbuka dan pembuangan sampah yang tidak terkawal.

Baginda juga mahu projek tebatan banjir yang telah dirancang Kerajaan Negeri Kedah yang telah mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

Ia sebagai usaha untuk melindungi nyawa dan harta benda masyarakat umum yang sebahagiannya menduduki di kawasan berdekatan sungai.

Penduduk yang menetap di kawasan rendah dan di tepi sungai hendaklah menerima tawaran kerajaan ini dan berpindah ke kawasan tinggi sekaligus tidak menghalang kerja-kerja tebatan banjir tersebut.

Tambah Baginda lagi, Kedah pernah dilanda banjir besar pada 2010, menyebabkan puluhan ribu penduduk negeri itu dipindahkan.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-darjah serta Bintang-bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-87 di Istana Anak Bukit di Alor Setar, Kedah.