BELURAN: Nilai murni kebudayaan dan perpaduan dalam Pesta Kaamatan wajar diketengah hingga ke peringkat kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah bagi memperkukuh kerjasama terutama melibatkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata GRS berjaya membuktikan kemampuan dalam menggabungkan parti di negeri itu atas satu fokus yang sama iaitu membangun dan melaksanakan tanggungjawab demi kepentingan rakyat.

"Pesta Kaamatan berupaya merapatkan hubungan masyarakat pelbagai kaum, anutan serta fahaman dan apa yang kita lihat daripada pesta ini adalah sesuatu untuk kita rapatkan silaturahim," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Beluran hari ini.

GRS dianggotai Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) yang menjalin kerjasama bersama Barisan Nasional bagi mentadbir negeri itu.

Beliau juga berharap Pesta Kaamatan dapat diketengah di peringkat lebih tinggi terutama dalam usaha menarik pelancong luar untuk melihat keunikan kebudayaan masyarakat Sabah yang masih mengekalkan kebudayaan dan warisan turun-temurun.

Dalam perkembangan lain, Menteri Dalam Negeri itu berkata pihaknya akan memastikan pembinaan sebuah markas bagi menempatkan Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Beluran direalisasikan secepat mungkin.

Ketika ini, batalion itu beroperasi dari bangunan yang disewa berhampiran Sandakan.

Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pula berkata Pesta Kaamatan, yang sentiasa disambut meriah oleh semua masyarakat di Sabah, berjaya memupuk perpaduan dan nilai saling menghormati.

Mengulas pembinaan markas Batalion 20 di Beluran, Ronald menyambut baik rancangan agar ia direalisasikan secepat mungkin bagi memastikan operasi PGA berjalan lancar dan keselamatan masyarakat di daerah itu terjamin.

"Beluran terdedah kepada perairan Laut Sulu yang terdedah kepada ancaman keselamatan dan perlu dilindungi," kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu.

-- BERNAMA