KUCHING: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyeru agar orang ramai memanfaatkan Pusat Pelancongan Islam (ITC) dengan menjalin kerjasama bagi menjana pendapatan dan menarik lebih ramai pelancong luar.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata dalam usaha memulihkan industri itu yang terkesan akibat COVID-19, MOTAC memerlukan idea golongan belia dan anak muda bagi mewujudkan produk baharu termasuk pelancongan Islam.

"Seni budaya Melayu Islam seperti memanah, tulisan khat serta pelbagai kesenian yang lain boleh menjadi tarikan kepada pelancong luar. Mereka yang dianugerahkan kelebihan ini berpotensi menjadikan ia sebagai kerjaya sampingan yang turut boleh menguntungkan penduduk setempat.

"ITC menawarkan program latihan, pembangunan kapasiti serta khidmat nasihat seperti Kursus Latihan dan Bengkel Pemandu Pelancong Mesra Muslim (MFTG) yang bertujuan meningkatkan pengetahuan pelancong Muslim serta bagaimana memenuhi keperluan mereka," katanya semasa berucap pada majlis penutup Karnival Mini Kebudayaan dan Kesenian Islam Tahun 2022 di sini pada Ahad.

Beliau berkata ITC turut mengadakan Seminar Keusahawanan dan Kepimpinan Pelancongan Islam (ITELS) untuk menarik minat lebih ramai pengusaha perniagaan dan usahawan bagi meneroka pasaran Pelancongan Mesra-Muslim yang mampu memberi keuntungan tinggi susulan kecenderungan bercuti panjang serta berbelanja tinggi.

Katanya sebelum pandemik COVID-19 melanda negara, Malaysia menerima purata 5.3 juta ketibaan pelancong Muslim dengan jumlah tertinggi dari Indonesia, Brunei, Bangladesh dan Arab Saudi manakala sumbangan pendapatan pelancongan dianggarkan berjumlah AS$3.8 bilion.

-- BERNAMA