KUALA LUMPUR: Rakyat perlu mengambil peluang melibatkan diri dalam ekonomi digital dengan memanfaatkan pelbagai kemudahan disediakan kerajaan bagi menoktahkan kemiskinan, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata dengan kemudahan sedia ada seperti Pusat Ekonomi Digital (PEDi), tiada alasan bagi orang ramai untuk tidak berusaha bagi menoktahkan kemiskinan yang menjadi aspirasi Kerajaan Perpaduan ini.

"Saya harap kemudahan ini dimanfaat sebaiknya, singgah ke PEDi belajar bagaimana untuk terlibat dalam ekonomi digital, bagaimana kemudahan ini boleh memajukan ekonomi kita. Di situ kita boleh melihat bahawa di pihak kerajaan, kita tidak berniat memberi ikan semata-mata.

"Memang kita bagi bantuan sama ada bakul makanan, Bakul Rahmah, subsidi dan sebagainya tapi lebih daripada itu untuk benar-benar mengatasi masalah kemiskinan untuk menoktahkan kemiskinan, kita perlu sediakan joran," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa dan Penyerahan Sumbangan Komuniti Seri Pantai anjuran Touch 'n Go Sdn Bhd, TNG Digital Sdn Bhd dan Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai di sini hari ini.

Terdahulu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyaksikan penyerahan sumbangan komputer tablet oleh Ketua Pegawai Eksekutif Touch 'n Go Sdn Bhd Praba Sangarajoo kepada murid sekolah yang juga penghuni di PPR Seri Pantai.

Beliau berkata kerajaan akan memastikan terdapat kemudahan PEDi sekurang-kurangnya satu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (1DUN 1PEDi) menjelang tahun hadapan.

Sementara itu, Fahmi turut mencadangkan penggunaan kaedah pembayaran nirtunai dengan menggalakkan penggunaan e-dompet dan kod QR di bazar Ramadan sekitar Kuala Lumpur.

Beliau mengusulkan sasaran penggunaan teknologi itu sekitar 90 peratus menjelang tahun hadapan dan perkara itu akan dibincangkan dengan pihak industri dan Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh bagi membantu lebih ramai peniaga dan penjaja memanfaatkan aplikasi berkenaan.

Ditanya perkembangan berkaitan Digital Nasional Bhd (DNB), Fahmi berkata Kabinet masih meneliti perkara itu dengan pihak berkaitan namun belum ada keputusan dibuat.

"Dalam usaha kita untuk melaksanakan rangkaian 5G, insya-Allah pada minggu ini Jemaah Menteri mungkin akan berbincang dan akan putuskan," katanya.

-- BERNAMA