MEKAH: Sudah sampai masanya penguatkuasaan lebih serius dan ketat dilaksanakan bagi mengelak penipuan ke atas mereka yang ingin mengerjakan ibadah haji.

Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra) Harun Kc Ahmmu berkata sebuah jawatankuasa untuk mengawal selia isu tersebut perlu diwujudkan, agar tiada pihak yang akan membuat tuduhan melulu terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) serta syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH).

"Agensi kerajaan berkaitan, TH dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bolehlah duduk bersama dan perlu perketatkan 'apa-apa yang longgar' supaya semua syarikat yang terlibat dalam urusan haji patuh pada undang-undang.

"Ia penting supaya tidak ada lagi mereka yang tidak berlesen mengelola jemaah haji. Saya juga berpendapat satu badan kawal selia perlu diwujudkan oleh kerajaan dalam memeriksa visa khas yang diperuntukkan Arab Saudi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita berhubung tuduhan sesetengah pihak bahawa wujud kartel dalam urusan haji dalam kalangan PJH.

Beliau berkata badan kawal selia itu bertanggungjawab mengakhiri masalah visa khas dan perlu berpandukan kepada peruntukan yang telah ditetapkan TH, bagi menjamin kepentingan bakal jemaah haji.

Harun berkata kebiasaannya pada musim haji, beberapa individu, kementerian serta pejabat mufti akan menerima visa khas daripada kerajaan Arab Saudi dan sepatutnya urusan membabitkan visa tersebut perlu melalui TH.

Namun, sesetengah daripadanya membelakangkan TH, sehinggalah berlaku perkara tidak diingini dalam urusan penerbangan, penginapan mahupun urusan pergerakan mengerjakan ibadah di Tanah Suci hingga TH dipersalahkan.

"Apabila dapat kelulusan khas, perlu segera hubungi TH kerana TH ada mekanisme bagaimana untuk pastikan mereka yang mendapat visa itu diurus atau dikelolakan oleh syarikat terlatih (PJH) dan terikat dengan peraturan TH.

"Andai berlaku ketidakpatuhan, TH boleh ambil tindakan kepada syarikat tersebut dan wang bakal jemaah boleh dikembalikan semula. Tapi sedihnya apabila pihak tertentu di luar sana yang kita sendiri tak faham bagaimana kaedah mereka mendapat visa khas ini sama ada furada atau mujamalah, tidak mematuhi peraturan," katanya.

Sementara itu ketika ditanya adakah jumlah 22 syarikat yang tersenarai dalam PJH terlalu sedikit hingga wujudnya kartel haji, Harun berkata "TH menilai syarikat dengan ketat dan tidak boleh memberi secara semborono, namun saban tahun ada sahaja syarikat baru yang dibawa masuk, tak kurang juga yang dikeluarkan kerana tidak menunjukkan prestasi baik."

Tambahnya, mana-mana syarikat yang layak dari segi kewangan serta prestasi boleh memohon dan beliau yakin sekiranya kuota bertambah, jumlah syarikat PJH juga akan meningkat bagi memudahkan TH menguruskan pelbagai keperluan jemaah.

Menurut Harun, ahli persatuan Bumitra dan syarikat PJH tidak menguruskan jemaah menerusi visa furada dan ia didakwa dilakukan pihak luar yang merupakan kartel sebenar yang ingin mengaut keuntungan berganda.

-- BERNAMA