KULIM: Pemandu serta tiga kakitangan sebuah hospital swasta nyaris maut apabila ambulan yang dinaiki mereka terbalik selepas dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan di Jalan Simpang Empat berhampiran persimpangan lampu isyarat Pejabat Pendidikan Daerah Kulim, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 pagi ketika itu ambulan itu dikatakan dalam perjalanan ke Hospital Kulim.

“Sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat ambulan terbabit dikatakan memasang siren kecemasan dan melepasi lampu isyarat.

“Bagaimanapun secara tiba-tiba sebuah kereta datang dari arah kiri melanggar bahagian tengah ambulan sehingga terbalik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, akibat perlanggaran itu ambulan terbalik di atas jalan.

“Pemandu serta tiga individu berada dalam ambulan terselamat tanpa mengalami kecederaan.

“Manakala pemandu kereta itu juga tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.