WASHINGTON : Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menjangkakan semua orang dewasa di negara itu akan menerima suntikan vaksin COVID-19 menjelang akhir Mei ini, iaitu dua bulan lebih awal daripada sasaran.

Keyakinan itu disuarakan selepas pentadbirannya mengumumkan Syarikat Merck & Co. akan membantu mengeluarkan vaksin Johnson & Johnson yang telah diluluskan.

Pengumuman itu dibuat selepas White House dilihat mempercepatkan pengeluaran dos vaksin Johnson & Johnson dan pada masa sama usaha Amerika Syarikat untuk pulih daripada pandemik COVID-19.

Pentadbiran Biden juga memberitahu Gabenor untuk bersiap sedia dengan bekalan vaksin mereka ketika negara itu mencatatkan angka kes COVID-19 yang tinggi.

Dos tambahan vaksin juga akan turut disediakan di farmasi agar ia lebih mudah diakses.

Amerika Syarikat setakat ini merekodkan 28.7 juta kes jangkitan COVID-19 dengan lebih 515,000 kematian.