Amerika Syarikat jangka semua warga dewasanya divaksin akhir Mei ini

Astro Awani
Mac 2, 2021 22:34 MYT
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menjangkakan semua orang dewasa di negara itu akan menerima suntikan vaksin COVID-19 menjelang akhir Mei ini, iaitu dua bulan lebih awal daripada sasaran. - Foto AP
WASHINGTON : Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menjangkakan semua orang dewasa di negara itu akan menerima suntikan vaksin COVID-19 menjelang akhir Mei ini, iaitu dua bulan lebih awal daripada sasaran.
Keyakinan itu disuarakan selepas pentadbirannya mengumumkan Syarikat Merck & Co. akan membantu mengeluarkan vaksin Johnson & Johnson yang telah diluluskan.
Pengumuman itu dibuat selepas White House dilihat mempercepatkan pengeluaran dos vaksin Johnson & Johnson dan pada masa sama usaha Amerika Syarikat untuk pulih daripada pandemik COVID-19.
Pentadbiran Biden juga memberitahu Gabenor untuk bersiap sedia dengan bekalan vaksin mereka ketika negara itu mencatatkan angka kes COVID-19 yang tinggi.
Dos tambahan vaksin juga akan turut disediakan di farmasi agar ia lebih mudah diakses.
Amerika Syarikat setakat ini merekodkan 28.7 juta kes jangkitan COVID-19 dengan lebih 515,000 kematian.
#White House #Amerika Syarikat #presiden #COVID-19 #pandemik #Joe Biden #vaksin