Satu laporan polis dibuat terhadap akaun Twitter 'PecatFaekah' yang menuduh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai dalang video aksi intim yang mengaitkan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Ketua Angkatan Muda PKR Wilayah Persekutuan, Na'im Brundage ciapan daripada akaun Twitter itu berkenaan perkara itu pertama kali dikesan pada 12 Jun lalu, tidak lama setelah video tersebut tular.

Na'im berkata, beliau turut menamakan beberapa individu yang dipercayainya sebagai pihak di belakang akaun Twitter itu, dalam laporannya.

"Tujuan laporan polis ini dibuat untuk menyeru polis menjalankan siasatan segera terhadap pengendali-pengendali akaun twitter yang telah banyak menabur fitnah dan tuduhan jahat terhadap Anwar Ibrahim menggunakan akaun Twitter ini.

"Siasatan ini harus dilaksanakan segera untuk mendedahkan dalang di sebalik konspirasi untuk memburukkan nama Anwar dan memecahbelahkan perpaduan antara pimpinan tertinggi PKR," katanya lagi.

Azmin menyifatkan video seks itu sebagai komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya selain yakin kerja terkutuk itu dilakukan pihak dalaman parti.

Anwar juga turut menafikan penglibatan dalam perkara itu yang kini dalam siasatan polis.

Selepas PRU ke-14, Anwar diberi pengampunan diraja setelah tiga tahun menjalani hukuman penjara.