PASIR GUDANG: Kanak-kanak autistik mempunyai peluang lebih besar untuk hidup berdikari sekiranya diberikan rawatan terapi secepat mungkin.

Pengerusi Persatuan Kanak-kanak Autisme Negeri Johor Ruwinah Abdul Karim berkata sehubungan itu, ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak perlu lebih peka dengan tingkah laku anak-anak mereka dan segera mendapatkan nasihat serta rawatan daripada pakar.

"Masyarakat khususnya ibu bapa yang mempunyai anak-anak autistik perlu mempunyai satu 'mindset' mengenai autisme, ini kerana ada segelintir ibu bapa berasa malu dan menyembunyikan anak-anak mereka. Perkara ini mungkin disebabkan stigma masyarakat.

"Namun, dengan rawatan terapi awal, kita berupaya melengkapkan individu yang mempunyai autisme dengan kemahiran asas yang membolehkan mereka berdikari apabila sudah menginjak dewasa nanti," katanya kepada pemberita selepas program Sambutan Hari Autisme Sedunia di sini hari ini.

Beliau berkata ciri-ciri autisme bagi seorang kanak-kanak boleh dikesan seawal usia 18 bulan, termasuk suka menyendiri, lambat bertutur, tidak suka bermain dengan kanak-kanak lain dan tidak memberi respons apabila dipanggil.

Ruwinah yang juga Ketua Terapi Klinikal Hospital Penawar berkata setakat ini, kira-kira 300 ibu bapa telah berdaftar dengan persatuan berkenaan sejak ia mula ditubuhkan tiga tahun lepas.

Sementara itu, seorang bapa kepada kanak-kanak autistik, Ridzuan Zainudin, 32, berkata dia mengesan anaknya, Amar Dzakwuan mempunyai autisme ketika anaknya itu berusia dua tahun.

"Pada tahun 2000, saya memanggil namanya beberapa kali tetapi tiada respons, dan dia memang tidak boleh bercakap ketika itu, jadi saya terus membawanya berjumpa pakar dan mereka mengesahkan perkara itu. Sejak itu saya terus membawanya untuk melakukan tiga jenis terapi iaitu percakapan, terapi air dan terapi kuda.

"Syukur, Alhamdulillah dia boleh bercakap sekarang, aktif seperti kanak-kanak normal lain. Jadi nasihat saya, kepada ibu bapa lain jangan berasa malu dan jangan menafikan. Bawa anak-anak jumpa pakar yang betul dan lakukan rawatan terapi untuk kebaikan mereka sendiri," katanya.

-- BERNAMA