Anak muda kumpul dana lebih RM50,000 beli komputer riba buat pelajar miskin

Nailah Huda
Februari 7, 2021 06:03 MYT
Dana yang ditubuhkan Arus Anak Muda menerusi platform KitaFund dilancarkan pada November lalu dan berjaya meraih sumbangan daripada 935 penderma secara keseluruhan. - Foto: Arus Anak Muda
KUALA LUMPUR: Hasil inisiatif anak muda berjaya mengumpul dana sebanyak RM53,500 untuk membeli komputer riba buat pelajar kurang berkemampuan.
Inisiatif ‘Connect Rakyat’ yang dimulakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Arus Anak Muda telah mula mengedarkan beberapa unit komputer riba diperbaharui bermula semalam di Kampung Tunku, Petaling Jaya yang turut dihadiri ADUN Lim Yi Wei.
“Kami akan mengedarkan komputer riba secara berfasa. Seperti yang dijanjikan, kami akan memastikan sasaran untuk bantu 100 pelajar menjadi kenyataan dengan dana yang kami kumpul secara crowd-funding (dana awam),” kata Nabil Halimi, salah seorang pengasas Arus Anak Muda.
Selepas dana yang dikumpul berjaya melebihi sasaran RM50,000, NGO itu menjangkakan lebih ramai pelajar dapat memanfaatkan bantuan itu, berbanding sasaran awal seramai 100 orang.
Inisiatif tersebut merupakan hasil kerjasama antara Arus Anak Muda, Hunger Hurts, Consurv Technic Sdn Bhd dan KitaFund untuk membantu pelajar di tiga lokaliti termasuk Kampung Tunku, Lembah Pantai dan Bukit Gasing.
Dana yang ditubuhkan Arus Anak Muda menerusi platform KitaFund dilancarkan pada November lalu dan berjaya meraih sumbangan daripada 935 penderma secara keseluruhan.
Nabil, 25 tahun, berkata, walaupun kerajaan telah memperuntukkan perbelanjaan untuk mengagihkan peranti digital kepada murid sekolah dalam Belanjawan 2021, namun inisiatif tersebut perlu disegerakan.
“Selepas setahun negara dilanda COVID-19, kerajaan perlu memainkan peranan supaya tidak ada pelajar yang tercicir dan bantuan disegerakan,” ujar Nabil.
Kementerian Pendidikan Malaysia menganggarkan 1.7 juta pelajar yang tidak mempunyai akses kepada peranti digital, sama ada telefon pintar, tablet atau komputer untuk membolehkan mereka belajar dalam talian.
Pada 20 Januari lalu, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bermula bagi sesi persekolahan tahun 2021 di seluruh negara.
#komputer #peranti digital #Kampung Tunku #Lembah Pantai #Bukit Gasing #Internet #PdPR #dalam talian #pelajar #sekolah #pendidikan #Kementerian Pendidikan #COVID-19 #Belanjawan 2021 #Arus Anak Muda #Nabil Halimi