Anak Normah Damanhuri didenda RM10,000 miliki produk tidak berdaftar dengan KKM

Astro Awani
September 28, 2020 07:34 MYT
Rose Azlin (kiri) ditemani adiknya, Liana Rosli didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Isnin kerana menjual dan memiliki produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan. Gambar BERNAMA
PETALING JAYA: Seorang usahawan wanita didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki produk tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).
Selaku Orang Kena Saman (OKS), Rose Azlin Rosli, 46, yang juga anak kepada pelakon veteran, Normah Damanhuri mengaku bersalah selepas hukuman dijatuhkan ke atas beliau oleh Majistret M Barath.
Mahkamah turut memerintahkan Rose Azlin dipenjara empat bulan lagi sekiranya gagal membayar jumlah denda itu.
Rose Azlin yang juga pemilik jenama KM Beauty House tidak diwakili peguam bagaimanapun membayar denda berkenaan.
Terdahulu, Rose Azlin dalam rayuannya turut meminta hukuman dikurangkan kerana kejadian berlaku ketika dia sedang mendapatkan kelulusan daripada KKM.
Pegawai Pendakwa KKM, Mohd Helmi Azman bagaimanapun meminta Rose Azlin dijatuhi hukuman setimpal memandangkan produk jualannya diiklankan di media sosial dan mendapat perhatian ramai orang.
"Sebagai orang yang dikenali, dia seharusnya memastikan produk ingin dijual atau diguna berdaftar dengan KKM supaya selamat digunakan. Demi menjaga kepentingan awam, pendakwaan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap OKS," katanya.
Rose Azlin yang didakwa memiliki 99 paket produk KM Sampah Cleanse melakukan kesalahan itu pada pukul 11.20 pagi, 21 Januari lalu di sebuah premis di Subang Jaya.
Dia juga dituduh melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan melakukan kesalahan mengikut Peraturan 30(1), peraturan yang sama.
Mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, individu yang disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Bagi kesalahan kedua, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
#anak pelakon veteran #Normah Damanhuri #didenda #Mahkamah Majistret #Petaling Jaya #produk #Kementerian Kesihatan #usahawan