KUALA LUMPUR: Berikut merupakan petikan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa menyampaikan perutusan sambutan Tahun Baharu 2022 hari ini berkait Bantuan Banjir Keluarga Malaysia yang diumumkan. 



i. Pertama, Bantuan Wang Ihsan (atau BWI) sebanyak RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah berbanding RM500 sebelum ini. Bayaran Bantuan Wang Ihsan tersebut telah mula diberikan sejak 27 Disember yang lalu, iaitu 10 hari selepas kejadian banjir berbanding sebelum ini yang memakan masa 3 hingga 6 bulan. Ini akan memanfaatkan lebih 45,000 Ketua Isi Rumah. Angka yang akan menerima bantuan ini boleh bertambah ramai apabila kita selesai mengenal pasti mereka yang terkesan tetapi tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (atau PPS). Setakat hari ini, seramai 20 ribu Ketua Isi Rumah telah menerima bantuan ini.

ii. Kedua, baucar tunai sebanyak RM500 bagi pembelian barangan elektrik kepada setiap keluarga mangsa banjir bagi menggantikan barangan elektrik yang rosak akibat bencana banjir. Pembelian boleh dibuat di premis atau di platform e-dagang yang diiktiraf oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli. Program ini akan dilaksanakan bermula 7 Januari 2022.


iii. Ketiga, saya faham dan sedar bahawa banyak kenderaan yang rosak teruk akibat musibah banjir yang menjejaskan bukan hanya pergerakan tetapi juga punca pendapatan.  Bagi pemilik PERODUA dan PROTON yang terkesan,  syarikat ini menawarkan pengecualian bayaran perkhidmatan tunda kenderaan dan upah baik pulih disamping diskaun 50% ke atas alat ganti. Manakala syarikat lain pula menyediakan perkhidmatan tunda kenderaan secara percuma dan diskaun sekurang-kurangnya 25% ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar.

Bagi pemilik kenderaan yang rosak akibat banjir, Kerajaan turut menyediakan baucar tunai sebanyak RM1,000 bagi tujuan pembaikan atau pembelian semua kenderaan yang terkesan termasuk lori, kereta, motosikal dan lain-lain.

Pemberian baucar tunai dan diskaun akan dimulakan pada Januari 2022.

iv. Keempat, Kerajaan juga akan menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja-kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan yang tidak serius.

Walau bagaimanapun, bagi kerosakan serius, Kerajaan sendiri akan mengurus baik pulih rumah dengan kos sehingga RM15,000. Manakala, bagi rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, Kerajaan akan membantu sehingga kos RM56,000 setiap unit rumah dibina baru.

v. Kelima, memandangkan banyak sukarelawan serta NGO telah memberikan sumbangan peralatan kepada mangsa dan untuk mengelakkan pertindihan, Kerajaan bersetuju untuk memberikan wang tunai sebanyak RM2,500 khusus untuk pembelian barangan keperluan mengikut kesesuaian masing-masing. Pemberian ini adalah khas untuk mereka yang mengalami kerosakan barangan akibat banjir.

Keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa boleh mencecah RM10,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah.

Inilah usaha Kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang simpanan KWSP.

Dengan usaha ini, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar lima peratus sekaligus mereka boleh merancang masa depan selepas bersara.

Malah bagi mereka yang mengalami kemusnahan rumah secara total, jumlah bantuan jauh lebih tinggi dan boleh mencecah RM61,000.

Saya berharap dengan pemberian ini sedikit sebanyak dapat memberi Sinar Baharu kepada Keluarga Malaysia.