KUALA LUMPUR: Pihak yang menggunakan nama "Timah" sebagai singkatan nama puteri Nabi Muhammad SAW adalah lebih biadab berbanding pihak yang menggunakan nama tersebut untuk jenama barangan.

Menurut bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr Syed Ali Tawfik Al- Attas belum pernah nama puteri Rasulullah dipanggil dengan panggilan ringkas seperti "Timah".

Malah Dr Syed Ali Tawfik menjelaskan Fatimah bukan nama wanita Melayu seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya ia adalah nama wanita Arab.

"Mereka tidak pernah merujuk Nabi Muhammad sebagai 'Mat'.

"Mereka tidak pernah merujuk anak Nabi Muhammad sebagai 'Timah'. Itu biadab dan itu yang ada sedang lakukan.

"Jadi siapa yang biadab? Anda yang biadab kerana menganggap nama di botol wiski sebagai singkatan nama puteri Nabi Muhammad, itu biadab.

"Tiada siapa pernah fikir begitu. Selepas syarikat itu memberi penjelasan, anda enggan menerimanya. Maksudnya anda angkuh.

"Anda fikir anda sentiasa betul, anda enggan menerima penjelasan orang lain kecuali pendapat anda.

"Bila sudah ada dalam fikiran anda, anda rasa ia betul. Pengetahuan anda korup," katanya dalam satu video yang disiarkan di saluran YouTube milik beliau.

Dr Syed Ali Taufik juga menjelaskan, syarikat pengeluar wiski itu tidak perlu melakukan promosi kerana banyak pihak terutama ahli politik telah membantu melariskan jenama tersebut.

Baru-baru ini, timbul kontroversi nama wiski buatan tempatan yang menggunakan jenama "Timah" yang dianggap menghina dan biadab kerana menggunakan nama wanita Melayu dan nama anak puteri Nabi Muhammad SAW.

Biarpun telah dijelaskan nama "Timah" yang digunakan adalah merujuk bijih timah, namun banyak pihak enggan menerimanya.