KUANTAN: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 32 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM26,200 sejak 2018 hingga 2019.

Tertuduh Mohd Norizan Yahaya, 46, seorang Bintara Muda Maritim di Zon Maritim Kuala Kedah, Kedah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Bapa kepada seorang anak itu didakwa diberikan suapan sebanyak RM200 hingga RM1,000, sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap nelayan Neo Siang Joo, melalui pemindahan wang secara dalam talian di sebuah bank di Jalan Mahkota di sini antara 13 Mei 2018 hingga 2 Jun 2019.

Tertuduh yang beralamat di Sitiawan, Perak itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, dan berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Fauzee Azizan, yang menawarkan jaminan sebanyak RM20,000, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Norizan dalam rayuannya memaklumkan dia perlu menanggung isteri yang tidak bekerja dan penghidap kanser pangkal rahim, serta seorang anak masih belajar.

Ahmad Zamzani kemudiannya menetapkan wang jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, dengan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di SPRM serta menyerahkan pasport kepada mahkamah. Mahkamah menetapkan 6 Jan depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA