Anggota polis didakwa terima rasuah RM250

Abd Razak Mohd Ali
Julai 26, 2021 03:27 MYT
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi. - Astro AWANI
IPOH: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM250 daripada seorang lelaki, berhubung kesalahan khalwat, di sebuah taman awam, dua tahun lalu.
Tertuduh Abdul Hadi Abu Bakar, 28, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.
Mengikut pertuduhan pertama dia didakwa menerima suapan wang tunai RM50 daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak membawa lelaki berkenaan dan pasangannya ke balai polis atas kesalahan khalwat di tempat letak kereta Taman D. R. Seenavasagam, kira-kira jam 2 pagi pada 30 Disember 2019.
Dia didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Bagi tuduhan kedua pula, dia didakwa menerima RM200 daripada individu yang sama atas dorongan yang sama di belakang bangunan sebuah restoran nasi kandar di Taman Fair Park, antara jam 12.30 hingga 12.45 tengahari pada 5 Januari 2020.
Bagi tuduhan kedua itu, dia juga didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Oktober depan untuk pengurusan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala tertuduh diwakili Peguam Sheikh Mohd. Nasir Sheikh Mohd. Sharif.
#Rasuah #anggota polis #khalwat #SPRM