KEPALA BATAS: Seorang anggota polis cedera parah selepas diseret sejauh 20 meter di atas jalan tar sebelum terjatuh ke dalam longkang ketika cuba mengejar seorang lelaki  bermotosikal yang melarikan diri dalam kejadian di Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Dalam kejadian jam 1 pagi Khamis, anggota polis berpangkat Koperal berusia 30 tahun itu patah tulang bahu kanan dan luka pada beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, anggota berkenaan bersama beberapa anggota polis yang lain sedang  melakukan tugasan rondaan Task Force Op COVID-19 ketika kejadian berlaku.

Anggota berkenaaan terserempak dengan seorang lelaki yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Sebaik anggota polis itu memperkenalkan diri, penunggang motosikal berkenaan bertindak memecut motosikal menyebabkan anggota polis mengejarnya.

“Bagaimanapun, sewaktu tiba di satu simpang jalan, motosikal lelaki itu telah berlanggar dengan motosikal anggota polis yang berada di sebelah kanan menyebabkan anggota itu terseret sejauh 20 meter dan terjatuh ke dalam longkang,” kata Noorzainy hari ini.

Noorzainy berkata, lelaki berusia 20-an yang cuba melarikan diri itu bagaimanapun berjaya ditahan di kawasan berhampiran.

“Pemeriksaan lanjut ke atas lelaki itu mendapati dia tiada lesen memandu namun tidak membawa apa-apa barang salah dan ujian saringan air kencing mendapati dia juga negatif dadah.

Anggota polis berkenaan cedera parah apabila mengalami patah bahu kanan dan luka pada badan dan di bawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan lanjut, manakala lelaki itu  turut mengalami calar pada badan,” katanya.

Noorzainy berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.