KOTA BHARU: Seorang anggota tentera berpangkat koperal menang saman RM48,574 terhadap rakan setugasnya berkait kes pukul ketika bertugas di Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Desa Pahlawan.

Hakim Azman Mustapha dalam keputusan di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, mengarahkan defendan, Muhammad Noor Ridzuan Rashid, 28, membayar ganti rugi am (RM37,500), teladan dan teruk (RM9,375), khas (RM1,699) berserta faedah-faedah serta kos mengikut skala kepada plaintif, Muhammad Helmy Mohamad, 31.

Azman berkata, defendan tidak menafikan mencederakan plaintif, bagaimanapun mendakwa hanya mempertahankan diri setelah plaintif membuat provokasi mengajak defendan untuk bergaduh.

“Mahkamah terpaksa menolak pembelaan defendan kerana tidak konsisten dengan hasil siasatan oleh Pegawai Cawangan Siasatan Jenayah Angkatan Tentera Malaysia.

“Setelah menilai semua keterangan, mahkamah berpuas hati plaintif berjaya membuktikan kesnya di atas imbangan kebarangkalian. Oleh itu, tuntutan plaintif dibenarkan,” ujar beliau.

Muhammad Helmy memfailkan saman melalui Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz dengan diwakili peguam, Shaharuddin Mohamed dan Azhar Ahmad sementara Muhammad Noor diwakili peguam, Siti Nur Zafikah Zulkifli dari Tetuan Abqary & Co.

Berdasarkan penyata tuntutan, kedua-dua mereka berkhidmat dalam ATM di Kompeni C, Batalion Ke-16, Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Desa Pahlawan.

Pada 11 April 2022, kira-kira jam 3 petang, semasa plaintif sedang membuat tugasan rutin di tempat bertugas di kem itu, dia dipanggil oleh defendan untuk bertanyakan beberapa soalan berkaitan penugasan harian.

Oleh sebab tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan plaintif, defendan menolak dan terus menyepak perut sehingga plaintif jatuh.

Defendan kemudian menumbuk beberapa kali muka plaintif sehingga berdarah bahagian hidung.

 Perbuatan defendan dileraikan, namun defendan terus menyepak pipi kiri plaintif yang pada masa itu berada dalam kedudukan melutut.

Muhammad Helmy memfailkan saman melalui Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz dengan diwakili peguam Shaharuddin Mohamed dan Azhar Ahmad manakala Muhammad Noor diwakili peguam Siti Nur Zafikah Zulkifli dari Tetuan Abqary & Co. -- Sinar Harian