Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan anggota Umno supaya sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan sesuatu kenyataan atau pendapat kerana pandangan mereka itu boleh memberi kesan terhadap pandangan pihak luar kepada parti itu.

Sesuatu kenyataan atau pandangan yang dibuat oleh anggota Umno tidak sepatutnya menyentuh perkara-perkara yang bertentangan dengan prinsip dan dasar perjuangan parti, kata Najib yang juga Perdana Menteri kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, di sini hari ini.

Beliau berkata ini adalah kerana kenyataan yang mereka keluarkan itu sedikit sebanyak mencerminkan kepada orang luar mengenai Umno, Majlis Tertinggi Umno dan kedudukan seseorang pemimpin parti itu.

"Sebagai contoh sekiranya kita Anggota Parlimen, apa yang kita suarakan itu mereka di luar akan melihat (sebagai) kewibawaan Anggota Parlimen Barisan Nasional," katanya.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang berkata dalam catatan Twitternya "Well done...Bravo...Long live Hitler.." sejurus selepas pasukan bola sepak Jerman menewaskan Brazil 7-1 pada perlawanan peringkat separuh akhir Piala Dunia, Rabu lepas.

Najib berkata Umno tidak mempunyai perundangan spesifik bagi menghukum anggotanya yang mengeluarkan pandangan di laman sosial yang disifatkan bertentangan dengan prinsip parti.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap anggota Umno kini menyedari perkara itu, dan mereka tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan dan pandangan menyalahi prinsip dan dasar parti.

"Sebab itu saya ambil keputusan cepat untuk menegur beliau (Bung Moktar), dan beliau telah minta maaf dan menarik semula kenyataan itu," katanya.

Bung Moktar sebelum ini dikecam pelbagai pihak ekoran catatan Twitterya itu yang dianggap memuji atau menyatakan sokongan terhadap rejim fasis Adolf Hitler.

Semalam Najib berkata di laman Twitternya bahawa komen-komen yang dibuat oleh Bung Moktar "tidak boleh diterima dan salah", dan Anggota Parlimen Kinabatangan itu "akan menarik balik" komennya itu.

Dalam pada itu, Najib berkata tempoh Mesyuarat Agung Bahagian Umno yang bermula 8 Ogos ini akan dilanjutkan kepada 30 September ini berbanding tarikh sebelumnya, iaitu sehingga 14 September.

Tempoh mesyuarat itu dilanjutkan kerana Umno telah meminda tarikh Perhimpunan Agungnya tahun ini kepada 25 hingga 29 November depan, katanya.

Sebelum ini, perhimpunan itu dijadual berlangsung pada 28 Oktober hingga 1 November.