Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengingatkan kepimpinan UMNO negeri supaya tidak terpengaruh dengan perkembangan politik dalaman parti yang sedang berlaku.

Sebaliknya, beliau berkata apa yang lebih penting adalah untuk mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha memperkukuhkan perpaduan dan meyakinkan semua anggota meneruskan perjuangan sehingga menang pilihan raya akan datang.

"Jangan terpengaruh kerana ini boleh mengelirukan, melalaikan, melekakan dan membazir masa (serta menyebabkan) lari daripada fokus asal. Saya perhatikan permainan politik ini akan berlanjutan sehingga pilihan raya.

"Perjuangan kita belum selesai dan kita mesti menang pilihan raya," katanya kepada media selepas menghadiri majlis jamuan petang sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2016 Peringkat Negeri Pahang di sini, pada Isnin.

Majlis anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pahang itu turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Samsudin.

Selain itu, Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, berpendapat adalah tidak wajar untuk mengganggu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedia ada mempunyai banyak tugasan perlu diuruskan.

"Pertamanya untuk menguruskan ekonomi negara dalam keadaan ekonomi dunia tidak stabil. Keduanya, beliau memerlukan masa dan tenaga untuk pastikan kos hidup rakyat yang terbeban perlu diringankan," katanya.

Politik dalaman UMNO agak meruncing sejak akhir-akhir ini dan pada Jumaat lepas, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengetuai kumpulan lebih 58 individu menandatangani 'Deklarasi Mahathir' dengan matlamat menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.

Turut menandatangi deklarasi itu ialah bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Besar Selangor, Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR.