Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan anggota parti itu supaya tidak mempolitikkan agama sebaliknya menggunakan politik sebagai medan memperjuangkan Islam.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, parti itu boleh dijadikan alat untuk menepis segala agenda buruk terhadap Islam seperti pengaruh Islamofobia dan penyebaran fahaman kumpulan militan I.S atau dikenali sebagai pengganas Daesh.

“Agenda memburukkan Islam merupakan kaedah baharu untuk memecahkan umat Islam. Dan orang-orang Islam sering terjebak dengan agenda tersembunyi itu sehingga berlakunya perpecahan di kalangan kita,” katanya semasa melancarkan "Puteri Daulat Islam Agama Negara (DIAN)" di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, perjuangan Islam yang dilakukan anggota UMNO harus dilakukan tanpa 'menindas' agama yang lain.

“Kalau nak agama kita dihormati, kita mesti hormat agama lain juga,” katanya.

Menyentuh mengenai 'Puteri DIAN', pasukan Puteri UMNO yang akan turun padang untuk menjelaskan isu mengenai agama, Ahmad Zahid yakin skuad baharu pergerakan Puteri itu merupakan satu program yang dapat menepis anasir jahat yang memburuk-burukkan Islam di negara ini.

Beliau juga berharap Puteri UMNO sentiasa bersedia untuk menerajui kepimpinan negara pada masa depan, dan mahu mereka bersedia bila tiba masanya nanti.

Untuk itu, mereka perlu sentiasa melatih diri untuk bersedia memikul tanggungjawab memimpin parti, katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pasukan Puteri DIAN UMNO telah dilatih dengan kemahiran untuk menangani isu agama.

Sejak ditubuhkan pada Julai lepas, pasukan itu telah merekrut 1,500 anggota yang terdiri daripada anggota pergerakan Puteri, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai, katanya.

Pasukan ini akan turun padang untuk menjelaskan isu mengenai agama, dan membantu untuk mengubah persepsi negatif masyarakat bukan Islam terhadap agama suci itu, katanya.