Anggota UMNO perlu memanfaatkan sepenuhnya media sosial untuk mempertahankan kepimpinan parti yang berterusan menerima tohmahan daripada pembangkang.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata anggota parti juga tidak perlu terikut-ikut dengan rentak pembangkang yang menyebarkan dakyah tanpa memastikan kesahihannya terlebih dahulu.

"Bila pembangkang cakap kerajaan nak bankrap, kita anggota UMNO janganlah ikut sebarkan tuduhan ini melalui media sosial.

"Saya percaya kita semua ada telefon pintar, kita sebarkan maklumat yang benar mengenai kerajaan dan kedudukan ekonomi negara," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Serentak Cawangan UMNO Bahagian Shah Alam di sini malam ini.

Turut hadir, Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Azhari Shaari.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Menteri Kewangan Kedua berkata negara pernah berdepan dengan krisis kewangan Asia pada 1998 menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun sebanyak tujuh peratus.

Malah, katanya, ketika krisis kewangan global pada 2008, negara turut terkena tempias apabila KDNK menurun pada kadar 1.2 peratus.

"Negara, bagaimanapun tidak bankrap ketika itu walaupun berdepan krisis kewangan. Hari ini, KDNK negara meningkat 4.2 peratus, bagaimana pula pembangkang dakwa negara boleh bankrap," katanya.

Beliau dalam pada itu, mengingatkan anggota UMNO Bahagian Shah Alam supaya kekal bersatu sekiranya ingin merampas semula kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Umum akan datang.

"Perpaduan itu penting bagi memastikan rakyat khususnya orang Melayu yakin dengan UMNO. Ini kerana komposisi pengundi di Shah Alam, 72 hingga 73 peratus adalah orang Melayu," katanya.

-- BERNAMA