KEBELAKANGAN ini jentera propaganda parti PAS giat menafikan usul persendirian pindaan Akta 355 Mahkamah Syari’ah (Bidangkuasa Jenayah) yang dibawa Presidennya adalah berkaitan hudud. Pihak yang menggunakan istilah “undang-undang hudud” diselar dan dikatakan cuba mengelirukan masyarakat daripada hal sebenar iaitu untuk “memperkasakan mahkamah syari’ah”. Ini helah PAS.

Realitinya pindaan yang dimaksudkan akan membuka pintu kepada perlaksanaan hudud, sesuatu yang telah diperjuangkan PAS selama berdekad. Media Harakah milik PAS sendiri menerbit rencana-rencana mengaitkan atau menggunakan istilah “undang-undang hudud” dalam tulisan tentang usul Presidennya di Parlimen. PAS tahu jika diusulkan terang-terang “undang-undang hudud” pasti sukar mendapat sokongan ramai.

Walaupun sudah lama diperjuangkan PAS, hudud tidak pernah menjadi agenda atau aspirasi masyarakat aliran utama mahupun dalam politik nasional. Apatah lagi hendak diterapkan dalam perundangan negara.

BACA: Zahid serah kepada Speaker tentukan nasib usul Hadi

BACA: Hudud: Penentangan bukan Islam kerana salah faham - PAS

BACA: Pindaan Akta Mahkamah Syariah perkasa Islam sebagai agama Persekutuan

Sehingga sepuluh tahun lalu tidak dapat dibayangkan usul undang-undang berkaitan hudud akan mendapat laluan di Parlimen dan disokong pula pelbagai pihak termasuk pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO.

Dahulu saranan perlaksanaan hudud PAS tidak mendapat sambutan dan sebaliknya menyebabkan PAS dilihat sebagai parti yang visinya cetek dan terbatas. Justeru pengaruhnya juga terhad dan PAS sendiri tahu akan kebenaran ini. PAS mula diambil serius apabila mendukung pergerakan massa Reformasi mulai 1998 dan bersatu bersama Keadilan (kini PKR), DAP dan PRM dalam pilihan raya ke-10 pada tahun 1999.


Dikatakan PAS mengetepikan agenda hudud pada masa itu demi menghadapi pilihan raya dengan satu suara kolektif untuk menjatuhkan kepimpinan UMNO dan BN yang rakus. Hari ini kita tahu agenda hudud PAS hanya sekadar ditangguhkan dan strategi pilihan raya itu membawa hasil yang paling menguntungkan bagi PAS dan PKR apabila mendapat banyak sokongan terutama daripada pengundi Melayu.

Apakah pengundi tiba-tiba menyokong PAS dan parti pembangkang lain kerana mahukan undang-undang hudud? Tentu tidak kerana agenda hudud PAS dipercayai telahpun diketepikan. PAS mendapat undi, terutama daripada orang Melayu, kerana rasa hampa dan marah mereka terhadap UMNO dan BN. Walaupun BN gagal ditumbangkan, pilihan raya tahun itu melihat pengundi memberikan lebih kuasa politik kepada PAS.

BACA: Hudud: Presiden MIC mahu letak jawatan, akan bawa isu kepada Kabinet

BACA: Usul RUU Mahkamah Syariah: Tiong Lai akan jumpa PM

BACA: Puak pembangkang cuba elak sentuh isu pindaan syariah - Salleh

Semenjak itu isu hudud terus timbul dan tenggelam sama ada dibangkitkan oleh PAS sebagai peringatan terhadap identiti parti ataupun dilontarkan oleh UMNO dan konco-konco BN untuk mencabar hubungan PAS dengan DAP. Parti pembangkang lain pula cuba mengalih perhatian daripada konflik ideologi yang wujud antara mereka. Walau apapun, perubahan dinamik politik negara menetapkan isu hudud bukan lagi satu isu kecil.

Persaingan menjadi sengit antara parti-parti majoriti Melayu untuk cuba “membuktikan” tahap Islamik masing-masing dan mempengaruhi sentimen politik golongan Melayu dan Muslim. Natijahnya politik berasaskan keagamaan menjadi-jadi di Malaysia dan meresap ke dalam dasar-dasar negara selain membentuk kandungan media massa.


Wacana isu hudud yang berlarutan sehingga hari ini memberi kesan negatif kepada hubungan antara agama dan kaum. Bukan sahaja antara agama dan kaum tetapi sesama golongan Muslim dan Melayu. Tambah lagi, sentimen-sentimen yang terlahir daripada pendebatan isu hudud juga tempias kepada pelbagai isu lain dan mengeruhkan lagi keadaan.

Meskipun masyarakat merasai kesannya namun dengan banyak isu lain yang menyelubungi politik dan pentadbiran negara, sengketa agenda hudud tidak diberi keutamaan sebagai sesuatu yang perlu diselesaikan segera. Sebaliknya hudud terus berlegar dalam wacana negara dan pendukungnya, PAS, masih diberi muka. Bahkan penglibatan parti itu dalam pergerakan-pergerakan massa juga dipinta dan dialu-alukan.

Menjelang pilihan raya ke-12 pada tahun 2008 agenda hudud PAS disorokkan sekali lagi dan slogan menentang kepimpinan UMNO dan BN yang rakus terus digunakan untuk meraih sokongan pengundi.

Akhirnya BN kalah teruk apabila “tsunami politik” membawa kejayaan luar biasa kepada blok pembangkang yang merangkumi PAS. Secara langsung undi rakyat memberi PAS kuasa dan pengaruh yang amat besar.

Berbeza daripada dahulu, pilihan raya 2008 dan seterusnya pada 2013 melihat PAS mendapat mandat daripada ramai pengundi bukan Muslim atau Melayu. Sokongan diberi atas prinsip parti itu mewakili blok pembangkang dan keinginan pengundi melihat perubahan pemerintahan di peringkat persekutuan. Tetapi sepertimana yang diketahui pakatan PAS bersama PKR dan DAP itu telahpun terlerai tahun lalu.

Namun dengan kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang diperoleh melalui pakatan tersebut PAS tetap berkuasa. Malah boleh dikatakan PAS sebenarnya lebih berkuasa sekarang kerana dalam posisi ini PAS menjadi penentu nasib UMNO dan BN serta seluruh blok pembangkang dalam pilihanraya yang akan datang. Lihat saja senario di Selangor.


Dengan kuasa itu juga pintu kepada perlaksanaan hudud yang selama ini terkunci telah dibuka melalui usul tajaan Presiden PAS untuk meminda Akta 355. Mei lalu Speaker Dewan Rakyat, atas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, secara mengejut membenarkan usul tersebut untuk dibentang. Dilaporkan itulah pertama kali usul berkaitan hudud dibenarkan untuk dibentang di Parlimen.

Presiden PAS telah memohon agar pembentangan usul ditunda dan sehingga hari ini usul itu masih menunggu giliran dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat. Situasi ini menimbulkan polemik dan kegelisahan di kalangan masyarakat.

Tindakan Presiden PAS mengemukakan usul tersebut sebenarnya tidak mengejutkan kerana partinya sekian lama mahukan perlaksanaan hudud. Yang menghalang agenda hudud PAS selama ini adalah Perdana Menteri dan kerajaan lalu serta sekutu-sekutu PAS sendiri. Apa yang membimbangkan dewasa ini adalah bayangan sokongan yang diberi oleh parti tunjang kerajaan iaitu UMNO serta respon parti-parti majoriti Melayu yang lain.

Dalam suasana pra-pilihan raya yang tidak menentu masing-masing tidak mahu berkonfrontasi dengan PAS. Maka tiada satupun yang berani menentang inisiatif Presiden PAS itu secara tulus atas dasar usul yang dicadang melanggar Perlembagaan negara selain meningkatkan keresahan masyarakat. Yang berani menentang hanya parti-parti majoriti bukan Melayu, parti-parti Sarawak dan Sabah serta para aktivis hak asasi manusia.

Secara amnya parti-parti majoriti Melayu hari ini hanya sanggup mengambil pendirian Malaysia “belum bersedia” untuk perlaksanaan hudud lantas membiarkan pintu hudud terbuka sebagai insentif kepada PAS untuk membentuk kesepakatan politik. Walhal Perlembagaan Malaysia jelas tentang perkara ini dan negara sudahpun ada undang-undang untuk mengatasi kes-kes jenayah.

Hakikatnya angkara kita hudud di Parlimen. Pengundi yang memberi PAS kuasa di sana dan kini kuasa itu dijadikan modal politik untuk PAS bertawar-menawar dengan parti-parti lain. Laratkah masyarakat terus mendengar ahli-ahli politik berdolak-dalik tentang isu hudud? Tidak serikkah kian tahun isu hudud ini merosakkan hubungan sesama kita di Malaysia?

Janganlah diremehkan lagi isu hudud sekadar helah politik semata-mata kerana kesannya terhadap masyarakat amat mendalam. Dan tidak perlulah mendebatkan lagi aspek teknikal penggubalan usul PAS kerana ia tidak membawa apa-apa perubahan selain untuk memalukan Presiden parti itu. Lagipun kalau bukan dia yang membawa usul, wakil rakyat lain akan mengusulkan pada masa hadapan selagi agenda hudud ini dibiarkan berlanjutan.

Tidak kiralah kecenderungan politik masing-masing tetapi tuntutlah kepada parti-parti kesayangan yang kini sedang sebok memikat PAS dalam persediaan pilihanraya agar isu hudud dihentikan. Tuntut agar usul pindaan Akta 355 yang membolehkan perlaksanaan hudud itu di tarik balik. Tuntut agar agenda hudud disingkir terus daripada politik tanahair.

Usahlah isu ini terus dibiarkan dan mengeruhkan lagi keadaan di Malaysia.



Ikuti Juana Jaafar di juanajaafar.net dan juga di Twitter @juanajaafar.

Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.