ANGKASA nafi artikel bumi bakal bergelap selama 3 hari

Media Statement
Oktober 27, 2014 03:46 MYT
ANGKASA: Dakwaan Bumi bakal bergelap 3 hari pada Disember 2014 adalah palsu. -Gambar fail
Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) ingin memaklumkan bahawa sebuah artikel yang mendakwa Bumi bakal bergelap selama tiga hari berturut-turut pada 21, 22 dan 23 Disember 2014 yang kini tersebar adalah palsu.
Artikel ini memetik sumber dari Presiden Agensi Angkasa Amerika Syarikat (NASA), Charles Bolden, melalui laman webnya di http://science.nasa.gov/.
Namun, tiada sebarang berita berkenaan di laman web mereka seperti yang dipetik dalam artikel tersebut.
Sumber-sumber lain yang dipetik juga tidak dapat dicari untuk sebarang pengesahan menunjukkan penipuan di sebalik artikel ini.
Khabar angin ini mengatakan kejadian ini adalah disebabkan oleh ribut suria yang dihasilkan oleh Matahari pada hari-hari berkenaan.
Untuk makluman, ribut suria dari Matahari tidak menyebabkan kejadian siang atau malam, jauh sekali menyebabkan Bumi bergelap.
Malah, Bumi juga dilindungi oleh medan magnet (magnetosphere) yang menyebabkan kesan sebarang ribut suria dibelokkan(deflected) dan menjadi lemah sebelum sampai ke Bumi.
Apabila baki ribut ini memasuki atmosfera Bumi, ia ternyahcas sebagai Aurora di hemisfera Utara dan Selatan.
Hakikatnya, artikel palsu ini telah tersebar sejak tahun 2012 bersama dengan khabar angin bahawa kiamat akan berlaku pada Disember 2012.
#Angkasa #kiamat #tersebar