PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah mengeluarkan Notis Penambahbaikan di bawah Seksyen 25 Akta 772 dan Peraturan-Peraturan Kebajikan Haiwan (Notis Penambahbaikan) 2020 kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), berhubung pengurusan anjing terbiar di Pusat Kurungan Anjing Terbiar kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

JPV dalam kenyataan hari ini berkata notis itu dikeluarkan untuk mengarahkan pihak MPKL mengambil apa-apa langkah mengikut perundangan sedia ada bagi memastikan kebajikan haiwan itu dipenuhi, termasuk mematuhi perundangan di bawah PBT berkenaan.

Menurutnya ia selepas pihaknya menjalankan pemeriksaan di pusat kurungan yang terletak di Banting, Selangor pada 9 Jan lepas susulan aduan orang awam, dan mendapati ada 94 anjing diletakkan dalam tujuh bilik berasingan, yang dianggarkan berkeluasan 30 kaki persegi setiap satu.

"Bilangan anjing yang diletakkan dalam bilik itu tidak memenuhi keperluan persekitaran kebajikan haiwan," menurut kenyataan itu.

Kebajikan Haiwan | Baiki pengurusan pusat kurungan haiwan - Tengku Permaisuri Selangor

Menurutnya pemeriksaan susulan ke pusat kurungan itu mendapati pihak MPKL telah mengambil tindakan penambahbaikan kepada arahan notis berkenaan dengan menyerahkan semua anjing kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang memohon untuk menjaga haiwan itu.

Sebelum ini tular beberapa keping gambar anjing yang kurus dan kelihatan tidak terurus di pusat kurungan haiwan yang didakwa bawah kendalian MPKL.

-- BERNAMA