SUNGAI PETANI: Seramai 13 remaja dikompaun RM4,000 seorang selepas ditahan menganjurkan ‘parti liar’ di sebuah inap desa di Taman Permaipura, awal pagi Selasa.

Serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada jam 4.30 pagi mendapati kesemua mereka sedang berhibur dan mengambil dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata hasil pemeriksaan terdapat 11 lelaki dan dua perempuan berusia 19 hingga 22 tahun di dalam premis terbabit.

“Pemeriksaan menemui satu paket dadah jenis ketamin dari poket seluar lelaki berusia 21 tahun.

“Kesemua mereka di bawa balik ke IPD Kuala Muda untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli memaklumkan kesemua mereka dikompaun RM4,000 setiap dari mereka kerana menjalankan aktiviti terlarang dan Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021.

Selepas ujian urin dilakukan, enam telah ditahan atas kesalahan memasukkan dadah ke dalam tubuh badan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Manakala seorang direman empat hari kerana memiliki dadah di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.