GEORGE TOWN:Tindakan mengaitkan DAP dalam kemelut politik UMNO adalah tindakan terdesak yang dilakukan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa untuk menyelamatkan karier politiknya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Annuar tidak seharusnya mengheret DAP dalam kemelut politiknya dengan mengada-adakan cerita mengenai kerjasama UMNO-DAP sedangkan ia tidak wujud.

Tegas Guan Eng, tiada sebarang perbincangan dibuat DAP dengan UMNO berhubung kerjasama UMNO-DAP sebagaimana dakwaan dibuat Annuar.

Guan Eng berkata beliau kesal dengan kenyataan yang dibuat Ahli Parlimen Ketereh dan menyifatkan Annuar sebagai “tidak jujur” dan hanya  memutar belit fakta.

"Kenyataan Annuar Musa adalah tidak benar. (Dakwaan) UMNO ada kerjasama dengan DAP untuk membentuk kerajaan pusat ini memang tidak berasas.

"Macam mana dia boleh sebut ada kerajaan bersama UMNO? Tak pernah dibincangkan dengan saya. Ini dia beliau hilang kewibawaannya, tidak tulus ikhlas, dan seorang yang lidah biawak dalam perkara ini," kata Guan Eng.

Menurut Guan Eng, Annuar hendak gunakan DAP untuk selamatkan kerjaya politiknya.

"Dia memang saya lihat nak jual UMNO untuk Bersatu. Itu dia punya hal. Jangan perdagangkan parti DAP. Kita tiada kaitan langsung," kata Guan Eng.

Guan Eng berkata demikian pada sidang media di Wisma DAP, di George Town pada Khamis.

Pada Rabu, Annuar mendakwa wujud gerakan UMNO untuk bekerjasama dengan DAP termasuk membentuk kerajaan baharu.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau menerima laporan bahawa UMNO dalam proses menjalin kerjasama dengan DAP untuk tujuan itu.

Pendedahan dibuat Annuar selepas BN memecat beliau dari jawatan Setiausaha Agung BN.

Beliau juga digugurkan sebagai wakil UMNO dalam sekretariat Muafakat Nasional.