KUALA LUMPUR: Meskipun dikritik beberapa pihak berhubung kenyataan tegasnya terhadap golongan antivaksin, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin akan tetap bertegas terhadap golongan yang enggan menerima vaksin COVID-19.

Di sebalik ketegasan itu, Khairy menyatakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memberikan kesedaran dan penerangan berhubung keberkesanan vaksin COVID-19.

“Nak kata kerajaan tidak cukup bagi penerangan tentang vaksin tidak betul. Kita dah kemukakan segala bukti saintifik tentang keberkesanan vaksin COVID-19 dari awal lagi dan kita terus memberi penerangan.


“Saya minta maaf saya terpaksa bertegas dalam isu ini. Panggilah saya dajal atau apa sekalipun,” ciapnya di laman Twitter rasminya pada Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan golongan antivaksin.


Vaksin COVID-19 | Kerajaan tiada niat susahkan antivaksin - PM

Anwar pada Ahad berkata beliau tidak setuju dengan Khairy yang mengambil pendekatan 'paksaan' terhadap rakyat Malaysia yang enggan menerima vaksin.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata bahawa kerajaan sepatutnya memberi kesedaran kepada mereka mengenai keperluan menerima vaksin.


Antivaksin | Kerajaan akan susahkan kehidupan antivaksin

Kenyataan Khairy baru-baru ini menimbulkan perdebatan hangat selepas beliau menyatakan: “Pendekatan kita adalah, maaf cakap, kita akan buat hidup anda susah kerana anda tidak divaksin kerana anda memilih untuk enggan divaksin.”

Kenyataan tegas itu hadir sehari selepas beliau memohon pihak berkuasa agar menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap kumpulan antivaksin.