KUALA LUMPUR : Guru kimia Anuthra Sirisena Sinnyore diumumkan sebagai pemenang pertama Malaysia Teacher Prize 2022, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM50,000.

Beliau bertugas di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Tenom, Sabah.

Beliau mengintegrasikan teknologi dan gamifikasi dalam bilik darjah yang menyumbang kepada kejayaan sekolahnya berada dalam kedudukan 10 sekolah terbaik untuk subjek Kimia Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) secara konsisten di negeri itu.

Selain itu, beliau juga merupakan pengasas bersama Tenom Innovation Centre (TIC), sebuah pusat yang telah melatih lebih daripada 2,000 guru dan murid dari sekolah luar bandar dalam bidang robotik dan pengaturcaraan.

"Di Tenom, kita bahagikan kepada lima bahagian buat sekolah rendah, sebagai contoh zon yang terdapat di kawasan bukit dan di bawahnya.

"Jadi di setiap zon, mungkin terdapat lima ke 10 sekolah dan sudah ada sekolah yang bergiat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

"Dengan pendekatan yang dilakukan, kita dapat mengenal pasti ekosistem sekolah, guru, pemimpin sekolah yang akan menjadi wakil mereka di tempat inovasi ini.

"Kita akan membuka peluang melalui ruang ini. Justeru kita bukan sahaja akan mendidik murid-murid, tetapi ibu-bapa juga. Yang mana kita tahu golongan ini kurang pendedahan terhadap pendidikan STEM," katanya pada Jumaat.

Anugerah itu ditampilkan buat pertama kalinya dengan kerjasama PEMIMPIN Global School Leaders (GSL) dan YTL Foundation.

Bersama-sama Anuthra, empat orang guru lagi telah diumumkan sebagai lima finalis oleh Yang Amat Mulia Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Majlis Penganugerahan Malaysia Teacher Prize, yang mana masing-masing menerima RM5,000.

"Ini bukan anugerah yang mana kita hanya berikan wang dan anugerah semata-mata, tetapi mempunyai mesej disebaliknya yang mana kita mahu memperkasakan lagi golongan guru di Malaysia untuk memenuhi potensi mereka dalam bidang yang mereka minati.

"Sekiranya kita dapat mencari lebih banyak individu seperti ini, kita dapat meningkatkan lagi kualiti bidang perguruan dan juga pendidikan di negara ini secara amnya," kata Pengarah PEMIMPIN GSL, Samuel Isaiah.

Anugerah berkenaan merupakan edisi tempatan yang diinspirasikan dari Global Teacher Prize, Varkey Foundation yang mana bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian luar biasa guru khususnya dalam menginovasi kaedah pengajaran dan usaha berterusan dalam mendidik anak bangsa.

Pemilihan finalis dibuat berdasarkan amalan bilik darjah yang inovatif, sumbangan terhadap profesion perguruan dan komuniti di samping kisah sebagai pendidik.

Turut hadir dalam majlis penganugerahan itu, Pengarah Program YTL, Datuk Kathleen Chew serta Ketua Pegawai Eksekutif PEMIMPIN GSL, Cheryl Ann Fernando

Terdahulu, Malaysia Teacher Prize membuka penyertaan bermula 10 Mei 2022 dan tamat pada 30 Jun 2022 sebelum diteruskan dengan penilaian penyertaan guru di seluruh Malaysia yang telah mendaftar.

Lebih 800 permohonan diterima oleh YTL Foundation sejak penyertaan dibuka dengan proses pemilihan bagi senarai pendek dilakukan panel juri termasuk dalam kalangan ahli akademik dan pegawai Kementerian Pendidikan