SEPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia selama dua hari bermula esok dan dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Joko Widodo.

Indonesia menjadi negara pertama dikunjungi beliau selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.

Republik itu sentiasa menjadi destinasi pertama lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia selepas dilantik dan seperti kelaziman, tradisi yang sama juga diamalkan oleh Presiden Indonesia.

Ia sekali gus menterjemahkan keakraban hubungan diplomatik Malaysia dan Indonesia sebagai negara serumpun.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, selain beliau,  Perdana Menteri akan turut diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau memberitahu, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Joko Widodo atau Jokowi di Istana Bogor pada 9 Januari (Isnin).

"Perdana Menteri juga dijadualkan untuk menyampaikan syarahan umum berkenaan Hubungan Strategik Malaysia-Indonesia pada hari yang sama.

"Mesyuarat di antara kedua-dua pemimpin ini akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala, meneroka peluang kerjasama baharu dan menggalakkan usaha bersama untuk menangani cabaran serantau dan global," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pembuka tirai lawatan sulung Perdana Menteri ke Indonesia  di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada Sabtu.

Antara isu utama yang akan dibincangkan adalah mengenai kerjasama ekonomi termasuk potensi pelaburan oleh Malaysia di Ibu Kota Negara (IKN) Nusantara.

"Strategi bagi menangani diskriminasi minyak sawit oleh Kesatuan Eropah (EU), pembatasan sempadan darat dan maritim, pengambilan dan perlindungan pekerja migran dari Indonesia serta kepengerusian ASEAN oleh Indonesia pada tahun ini," ujarnya.

Zambry menambah, dalam lawatan itu, lapan Memorandum Persefahaman (MoU) akan dimeterai antara sektor swasta Malaysia dan Indonesia.

"Sebuah Majlis Penyerahan 11 pucuk Surat Minat (LoI) oleh syarikat-syarikat Malaysia kepada Pengerusi Nusantara juga akan diaturkan bagi menyatakan hasrat Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan Indonesia untuk pembangunan IKN Nusantara," katanya.

Beliau yakin, melihat pembangunan IKN Nusantara di Kalimantan, ia akan memberi peluang kepada Malaysia terutama Sabah dan Sarawak untuk mendapat manfaat pembangunan yang sedang rancak berlaku.

"Salah satu daripada perbincangan yang akan diadakan melibatkan dua pemimpin ini dalah berkisar dalam konteks pembangunan di IKN," jelasnya.

Mengulas lanjut Zambry berkata, pada 2021, Indonesia adalah rakan dagang global ketujuh terbesar dan ketiga terbesar dikalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan RM95.31 bilion.

Sementara bagi Januari hingga November 2022 lalu, katanya, Indonesia menjadi rakan dagang keenam terbesar dan kedua terbesar di kalangan negara ASEAN dengan peningkatan jumlah dagangan sebanyak 41.7 peratus iaitu RM 120.26 bilion.