KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan antara Ahli Parlimen yang menerima vaksin COVID-19 dos penggalak di bangunan Parlimen pada Rabu.

Bahkan, isterinya yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menerima dos penggalak itu pada hari sama.

Perkembangan itu dikongsikan Anwar di laman Facebooknya pada Rabu.

Dalam catatan ringkas tersebut, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada petugas perubatan diketuai Datuk Dr Murugesu Raju atas khidmat dan nasihat diberikan kepadanya.

 
Sumber Facebook anwaribrahimofficial

“Hari ini saya dan Azizah menerima dos penggalak vaksin COVID-19 yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) di Bangunan Parlimen.

“Terima kasih kepada pasukan petugas perubatan diketuai Datuk Dr Murugesu Raju atas khidmat dan nasihat yang diberikan,” tulisnya di laman Facebook beliau sebentar tadi.

Astro AWANI pada Selasa melaporkan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mempergiat proses vaksinasi dos penggalak COVID-19.

BACA: COVID-19: Ahli Parlimen terima dos penggalak, KKM pergiat vaksinasi

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya kini menjadualkan janji temu kepada individu yang layak.

KKM pada Selasa memberikan dos penggalak Pfizer bermula jam 9.30 pagi sehingga jam 4 petang di Dewan Bankuet di Bangunan Parlimen.

Berdasarkan tinjauan, rata-rata Ahli Parlimen mula menunggu giliran masing-masing seawal jam 9.20 pagi.

Pemberian dos penggalak bermula di seluruh negara 13 Oktober lepas untuk individu yang mendapat dos lengkap vaksin bagi memastikan imuniti yang diterima selepas dos lengkap dapat dikekalkan bagi tempoh optimum, khususnya terhadap jangkitan varian Delta.