Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini gagal dalam saman fitnah RM100 juta yang difailkannya terhadap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berhubung kenyataan dalam satu sidang media di Washington pada 2009.

Mahkamah Tinggi di sini menolak saman tersebut setelah mendapati bekas ketua pembangkang itu gagal membuktikan dakwaan difitnah dan memerintahkannya membayar kos sebanyak RM20,000.

Menerusi deraf penghakiman bertulis, Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah SH Badjenid berkata kenyataan Anifah terhadap Anwar dibuat di luar daripada Malaysia dan mengikut Seksyen 23(1)(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, bidang kuasa sivil Mahkamah Tinggi adalah bagi tindakan yang berbangkit di dalam negara sahaja.

"Mahkamah Tinggi di negara ini tidak mempunyai bidang kuasa atas kes-kes yang kausa tindakannya berbangkit di luar dari Malaysia," katanya.

Anwar memfailkan saman terhadap Anifah pada 27 Mei 2009 dengan mendakwa kenyataan menteri itu pada sidang media di Washington bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu, Hillary Clinton, telah mencemar imej beliau.

Anwar menuduh Anifah menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak layak memegang jawatan politik dan sebarang jawatan lain, dan berbahaya kepada masyarakat Malaysia.

Kenyataan itu kemudiannya telah disiarkan melalui laman sesawang Jabatan Negara Amerika Syarikat pada 14 Mei 2009 dan dua hari selepas itu (16 Mei 2009) akhbar The Star telah menyiarkan artikel bertajuk 'Anwar offered me the DPM post', (Anwar menawarkan saya jawatan Timbalan Perdana Menteri) berdasarkan kenyataan Anifah dalam sidang media yang sama.

Siti Khadijah juga berkata defendan (Anifah) telah membuat kenyataan amaran bahawa apa disebutkan ialah "hanya untuk makluman hadirin di sini' yang menunjukkan Anifah tidak bermaksud untuk kenyataannya disiarkan di Malaysia.

"Pada pandangan mahkamah, pernyataan amaran tersebut tidak boleh dikatakan sebagai 'afterthought' (difikirkan kemudian) memandangkan pernyataan itu nyata telah disebut pada sidang akhbar tersebut dan ia tidak dapat dipertikaikan oleh plaintif (Anwar).

"Jika kenyataan dibuat secara tertutup sudah tentu tiada keperluan untuk defendan memberi amaran seperti yang telah dilakukan. Daripada keterangan yang ada, lebih cenderung untuk menunjukkan kepada mahkamah bahawa defendan tidak bermaksud untuk kenyataannya disiarkan di Malaysia," kata Siti Khadijah.

Anwar sebelum ini memohon ganti rugi dan mendakwa bahawa kenyataan Anifah, yang dilaporkan secara meluas dalam media tempatan dan asing, telah merosakkan keperibadiannya dan secara langsung atau tidak menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak beretika, tidak berprinsip dan korup.

Anwar diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli manakala peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Anifah.

Sementara itu, Anwar, yang turut hadir dalam prosiding hari ini, kelihatan bersahaja setelah mendengar keputusan tersebut dan beliau yang diiringi beberapa anggota penjara menemui ahli keluarga serta pemimpin pembangkang selepas prosiding selesai.