KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak siasatan penuh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) dan Bestinet berhubung urusan mencurigakan bagi memperoleh kontrak daripada kerajaan.

Menurut beliau, kontroversi melibatkan dua syarikat itu mengugat kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dalam mengurus isu-isu penyelewengan dan kepincangan.

"Isu sebesar ini semestinya menuntut tindakan yang tuntas dan pantas, terutamanya dari Perdana Menteri (PM) kerana ia melibatkan nama menteri dan mantan menteri yang berkaitan, dari PM dan juga Menteri Sumber Manusia.

"Ini juga mustahak kerana ia turut melibatkan imej dan reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa serta tekad dan iltizam kita dalam menghentikan kebobrokan,"  katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, perkara itu pernah disuarakan olehnya di Parlimen sebagai penghambaan moden.

"Pekerja diperas sementara pedagang dan agen bertindak sebagai penindas yang mengaut keuntungan besar," katanya.

UKSB syarikat yang menguruskan Visa Luar Negara (VLN) dan pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China, disebut dalam perbicaraan melibatkan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sebelum ini, bekas pengurus pentadbiran UKSB David Tan memberi keterangan bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima RM1.3 juta melalui tiga transaksi pada 4 Jun, 4 Jul dan 23 Ogos 2018, bagaimanapun ia dinafikan bekas perdana menteri itu.

Selain Muhyiddin, nama Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Anifah Aman dan Datuk Seri Shafie Apdal turut direkodkan dalam lejar pembayaran UKSB.

Sementara itu, isu tersebut timbul apabila ejen buruh di Dhaka mendakwa, pengasas Bestinet Mohd Amin Abdul Nor mempengaruhi kerajaan Malaysia dalam mengehadkan bilangan agensi membekalkan buruh ke Malaysia kepada 25 syarikat sahaja.

Ia bagaimanapun dinafikan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan.