KUALA LUMPUR : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa bertemu dengan seniman tersohor India, Kamal Haasan pada Ahad.

Beliau yang juga Presiden PKR dalam perkongsian di laman Instagramnya dilihat beramah mesra bersama aktor terbabit di sebuah ruang persendirian di satu lokasi yang tidak didedahkan di ibu negara.

"Hari ini bertemu tokoh dan superstar Kamal Haasan.

"Mengadakan diskusi yang panjang bersama beliau terutamanya tentang sejarah India dan persoalan tatakelola yang baik, serta ketegasan terhadap rasuah.

"Saya akan hadir ke majlis tayangan premier filem terbarunya ‘Vikram’ pada 3 Jun ini di ibu negara," katanya menerusi perkongsian di laman sosial media berkenaan.



Pelakon terbabit tiba di Kuala Lumpur bagi mempromosikan filem Tamil itu yang diarahkan oleh Lokesh Kanagaraj.

Selepas Kuala Lumpur, aktor berkenaan dilaporkan akan berlepas ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Hyderabad di Selatan India untuk tujuan sama.

Selain Kamal, filem berkenaan turut dibintangi Vijay Sethupathi dan Fahadh Faasil.